Friday, September 7, 2012

Ali yang mendambakan Fatimah

Dipendamkan di dalam hatinya, yang tidak diceritakan kepada sesiapa tentang perasaan hatinya. Tertarik dirinya seorang gadis, yang punya peribadi tinggi, paras yang cantik, kecekalan yang kuat, apatah lagi ibadahnya, hasil didikan ayahnya yang dicintai oleh umat manusia, yakni Rasulullah s.a.w. 

Gadis itu adalah Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Nabi Muhammad, srikandi berperibadi mulia. Dia sedar, dirinya tidak punya apa-apa untuk meminang puteri Rasulullah. Hanya usaha dengan bekerja supaya dapat merealisasikan cintanya.

Lelaki yang mendamba itu adalah Ali, sepupu baginda sendiri. Beliau tersentak mendengar perkhabaran bahawa sahabat mulia nabi, Abu Bakar As-Siddiq, melamar Fatimah.

“Allah mengujiku rupanya”, rintih batin Ali. Ia merasa diuji kerana merasa apalah dia dibanding Abu Bakar di sisi Nabi? Abu Bakar lebih utama, mungkin dia bukan kerabat dekat Nabi seperti Ali, namun keimanan dan pembelaannya pada Allah dan RasulNya tak tertandingi. Lihatlah bagaimana Abu Bakar menjadi kawan perjalanan Nabi dalam hijrah sementara Ali bertugas menggantikan beliau untuk menanti maut di ranjangnya. 

Lihatlah juga bagaimana Abu Bakar berdakwah. Lihatlah berapa banyak tokoh bangsawan dan saudagar Makkah yang masuk Islam kerana sentuhan Abu Bakar; Utsman, Abdurrahman ibn Auf, Thalhah, Zubair, Sa’ad ibn Abi Waqqash, Mush’ab. Ini yang tak mungkin dilakukan kanak-kanak kurang pergaulan seperti Ali. Lihatlah berapa banyak budak muslim yang dibebaskan dan para faqir yang dibela Abu Bakar; Bilal, Khabbab, keluarga Yassir, Abdullah ibn Mas’ud. Dan siapa budak yang dibebaskan Ali? Dari segi kewangan, Abu Bakar sang saudagar, insyaAllah lebih bisa membahagiakan Fatimah. Ali hanya pemuda miskin dari keluarga miskin.

“Inilah persaudaraan dan cinta”, gumam Ali.

“Aku mengutamakan Abu Baakr atas diriku, aku mengutamakan kebahagiaan Fatimah atas cintaku.”


Namun, sinar masih ada buatnya. Perkhabaran diterima bahawa pinangan Abu Bakar ditolak baik oleh Nabi. Ini menaikkan semangat Ali untuk berusaha mempersiapkan diri. 

Tapi, ujian itu bukan setakat disitu. Kali ini perkhabaran lain diterima olehnya. Umar Al-Khattab, seorang sahabat gagah perkasa, menggerunkan musuh Islam, pula cuba meminang Fatimah. Seorang lelaki yang terang-terangan mengisytiharkan keislamannya, yang nyata membuatkan muslimin dan muslimat ketika itu yang dilanda ketakutan oleh tentangan kafir Quraisy mula berani mendongak muka, seorang lelaki yang membuatkan syaitan berlari ketakutan.

Al-Faruq, sang pemisah kebenaran dan kebatilan itu juga datang melamar Fatimah. Ali mendengar sendiri betapa seringnya Nabi berkata, “Aku datang bersama Abu Bakar dan Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan Umar”. Betapa tinggi kedudukannya disisi Rasul, disisi ayah Fatimah. Ali redha kerana dia tahu Umar lagi layak darinya. 

Tetapi, sekali lagi peluang terbuka, tatkala perkhabaran diterimanya, bahawa pinangan Umar juga ditolak. Bagaimanakah sebenarnya menantu pilihan Nabi, sedangkan dua sahabat baginda turut ditolak peminangannya?

Pada suatu hari Abu Bakar As-Siddiq r.a, Umar Ibnu Khattab r.a dan Sa’ad bin Mu’adz bersama-sama Rasul Allah s.a.w duduk dalam masjid. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasul Allah s.a.w. Saat itu baginda bertanya kepada Abu Bakr As-Siddiq r.a: “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Thalib?”

Abu Bakar As-Siddiq menyatakan kesediaanya. Ia beranjak untuk menghubungi Ali r.a. Sewaktu Ali r.a melihat datangnya Abu Bakar As-Siddiq r.a dgn tergopoh-gopoh dan terperanjat ia menyambutnya kemudian bertanya: “Anda datang membawa berita apa?”

Setelah duduk beristirehat sejenak, Abu Bakar As-Siddiq r.a segera menjelaskan persoalannya: “Hai Ali engkau adalah orang pertama yang beriman kepada Allah dan RasulNya serta mempunyai keutamaan lebih dibanding dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian pula engkau adalah kerabat Rasul Allah s.a.w. Beberapa orang sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk menyunting puteri beliau. Lamaran itu telah beliau semua tolak. Beliau mengemukakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah s.w.t. Akan tetapi hai Ali apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri beliau itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan RasulNya akan menahan puteri itu untukmu.”

Mendengar perkataan Abu Bakr r.a mata Saidina Ali r.a berlinang air mata. Ali r.a. berkata: “Hai Abu Bakar, anda telah membuatkan hatiku bergoncang yang semulanya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah aku memang menghendaki Fatimah tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”

Abu Bakar r.a terharu mendengar jawapan Ali itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Ali r.a, Abu Bakar r.a berkata: “Hai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan RasulNya, dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!”

Setelah berlangsung dialog seperlunya Abu Bakar r.a berhasil mendorong keberanian Ali r.a untuk melamar puteri Rasul Allah s.a.w.

Beberapa waktu kemudian Sayyidina Ali r.a. datang menghadap Rasul Allah s.a.w yg ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salamah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salamah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Siapakah yg mengetuk pintu?” Rasul Allah s.a.w menjawab: “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan RasulNya dan ia pun mencintai Allah dan RasulNya!”

Jawapan Nabi Muhammad s.a.w itu belum memuaskan Ummu Salamah r.ha. Ia bertanya lagi: “Ya tetapi siapakah dia itu?”

“Dia saudaraku orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad s.a.w.

Tercantum dalam banyak riwayat bahawa Ummu Salamah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Saidina Ali r.a kepada Nabi Muhammad s.a.w itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu sampai kakiku terantuk-antuk. Setelah pintu kubuka ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Talib. Aku lalu kembali ke tempat semula. Ia masuk kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasul Allah s.a.w. Ia dipersilakan duduk di depan beliau. Ali bin Abi Talib menundukkan kepala seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.

Rasul Allah s.a.w mendahului berkata: “Hai Ali nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan akan kau peroleh dariku!”

Mendengar kata-kata Rasul Allah s.a.w yang demikian itu lahirlah keberanian Ali bin Abi Talib untuk berkata: “Maafkanlah ya Rasul Allah. Anda tentu ingat bahawa anda telah mengambil aku dari pakcikmu Abu Talib dan makcikmu Fatimah binti Asad di kala aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa. Sesungguhnya Allah telah memberi hidayat kepadaku melalui anda juga. Dan anda ya Rasul Allah adalah tempat aku bernaung dan anda jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan akhirat. Setelah Allah membesarkan diriku dan sekarang menjadi dewasa aku ingin berumah tangga; hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri anda Fatimah. Ya Rasul Allah apakah anda berkenan menyetujui dan menikahkan diriku dengan Fatimah?”

Ummu Salamah melanjutkan kisahnya: “Saat itu kulihat wajah Rasul Allah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum beliau berkata kepada Ali bin Abi Talib: “Hai Ali apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”

Jawab Ali bin Abi Talib dengan terus terang. “Demi Allah, anda sendiri mengetahui bagaimana keadaanku tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak anda ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor unta.”

Rasul Allah s.a.w menanggapi jawapan Ali bin Abi Talib: “Tentang pedangmu itu engkau tetap memerlukannya untuk perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu buat keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja. Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Hai Ali engkau wajib bergembira sebab Allah ‘Azza Wajalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!” Demikian riwayat yang diceritakan Ummu Salamah r.ha.

Setelah segala-galanya siap dengan perasaan puas dan hati gembira dengan disaksikan oleh para sahabat, Rasul Allah s.a.w mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahwasanya Allah s.w.t memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas dasar mas kahwin 400 dirham. Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”

“Ya Rasul Allah, itu ku terima dgn baik” jawab Ali bin Abi Talib r.a dalam pernikahan itu.

Dan ternyata tak kurang juga yang dilakukan oleh puteri Nab. Dalam suatu riwayat dikisahkan, bahawa suatu hari, Fatimah berkata kepada Ali: “Maafkan aku, kerana sebelum menikah denganmu, aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda”. 

Ali terkejut dan berkata: “Jikalau begitu, mengapa engkau mahu menikah denganku? Dan siapakah pemuda itu?”

Sambil tersenyum Fatimah berkata: “Ya, kerana pemuda itu adalah dirimu”


 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiJxOSlcpCz2Frt1C5MOahuRxoo3zC0NOF98ZIS2SHK6y8UJSoy-o4ySxuCU7-njYCqXeujIQ3pJbwZ0TebqKfwwIuddno4S9M71YrXDgrufJRXZIAv8eeLtxby6JrD7FZMy_jHT218nULZ/s400/Masjid+Nabawi.jpg