Wednesday, August 24, 2011

anda kenal Frederic Oumar Kanoute?

entry ini diambil dari Malaysian Sports Loose Cannon (rizalhashim.blogspot.com), blog yang memfokuskan tentang isu-isu sukan terutamanya industri sukan tempatan..saudara Rizal Hashim merupakan bekas wartawan sukan yang berpengalaman luasdalam arena ini dan kelibatnya kini sering dapat kita lihat di kaca TV terutamanya Astro Arena.


Bersama Kanoute di Masjidil Haram


Sempena 10 Ramadhan terakhir, aku menyingkap pertemuan dengan Fredi Kanoute dalam Masjidil Haram, Rejab 1432, kira-kira dua bulan lalu. Dari Maghrib ke Isya', aku, 'Akif dan 'Afif bersolat di tingkat 2, sambil Intan dan Nur Alfiyyah di bahagian kaum Ibu. Selesai menunaikan ibadah, seperti biasa aku buat temu janji dengan orang rumah di Gate 79. Dalam laluan menuju gate itu, tiba-tiba mata aku terpandang dua lelaki sedang beriktikaf. Bisik hatiku "eh itu macam Kanoute".

Tanpa berfikir panjang, aku mendekati mereka. "Assalamualaikum"...

"Waalaikumussalam," jawab mereka serentak.

"Are you Mr Kanoute?"

"Yes," jawab lelaki berjubah cerah itu. Lalu aku dan 'Akif serta 'Afif menghulurkan tangan, lalu memperkenalkan diri.

"My name is Rizal, from Malaysia."

Kedua-duanya terkejut. "You can recognise me?" "Is La Liga shown over TV in Malaysia?

"Of course, our cable tv shows the English Premiership to Ligue Un..."

"Are they your kids?"

"Yes, this is my son, this is my nephew."

"We have a friend in Malaysia, he likes to play badminton."

"Yes, the world No 1 in badminton is Malaysian. Have you been to Malaysia?"

"No, but I would love to..."

"Its a beautiful country."

"Yes, the friend tells us nice things about Malaysia...is football big in Malaysia?"

"Yes, that is why we have league matches from Europe shown over tv. Our national team is the regional champions."

"Which league has the biggest following?"

"Definitely the English Premiership...followed by La Liga."

Kanoute kemudian memandang 'Akif dan 'Afif.

"Do they speak Arabic?"

"Very little."

"Masmuk?" sambil dia memegang 'Akif.

"Ismee 'Akif." Kemudian Kanoute menoleh kepada 'Afif. "Ismee 'Afif."

"Oh good, they are beautiful and great kids, Alhamdulillah."

"Fredi, I wouldn't want to take up much of your time...can we take pictures."

"Of course."

"OK, thank you, syukran, merci beaucoup."

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."




Iktibar daripada dakwah ala Kanoute

TATKALA bola sepak Malaysia gempar lagi dengan skandal rasuah yang menimbulkan syak wasangka masyarakat terhadap pengamal sukan itu, penulis mahu mengajak pembaca dan peminat merenung seketika kerjaya dan kehidupan penyerang Seville, Frederic Oumar Kanoute.


Secara kebetulan, penulis berkesempatan beramah mesra dengan Kanoute dalam Masjidil Haram, baru-baru ini. Biarpun pertemuan itu hanya seketika, ia membawa makna yang cukup mendalam buat penulis.


Mengambil kesempatan daripada cuti musim panas, bekas penyerang Spurs dan West Ham itu menunai ibadah umrah bersama seorang sahabat.


Lahir di Lyon, Perancis tetapi memilih untuk menyarung jersi negara asal datuk neneknya, Kanoute adalah contoh seorang atlet yang melawan arus atas dasar prinsip dan iman. Tidak syak lagi pemain berusia 34 tahun itu bangga menjadi seorang Muslim. Hakikat ini acapkali dimanifestasi menerusi tindakannya sama ada ketika menjadi tontonan dalam mahupun luar padang.


Sebagaimana ramai penganut agama Islam yang mencari rezeki di Eropah, Kanoute bergelut dengan budaya dan kebiasaan yang banyak bertentangan dengan prinsip hidup seorang Muslim.


Apalagi dalam dunia bola sepak, satu bidang paling popular, glamor, bergaya dan mewah hingga memberi ruang kepada kebebasan duniawi. Persekitaran dan eko-sistemnya boleh membuat orang lupa akan nilai-nilai agama.


Kanoute mendirikan solat di dalam bilik persalinan sudah jadi satu senario biasa di Seville. Tindakannya menunaikan solat setiap kali masuk waktu biarpun ketika latihan pada awalnya sukar difahami jurulatih dan rakan-rakan sepasukannya namun akhirnya mereka akur dengan tuntutan agama dan komitmen Kanoute.


Uniknya Kanoute cekal menzahirkan iman di bumi yang majoritinya bukan Islam tetapi satu ketika dahulu dikenali sebagai Al-Andalus, pusat pemerintahan kegemilangan Islam.


Berdakwah dengan caranya tersendiri, Kanoute berkongsi rasa perihatin dan simpatinya terhadap saudara seiman dan ribuan rakyat Palestin yang syahid di Gaza, dengan menyelak jersinya untuk memperlihatkan baju dalam yang bertuliskan “Palestina” ketika meraikan jaringan.


Perkataan Palestina itu ditulis juga dalam beberapa bahasa lain. Itu dia lakukan dalam pertemuan La Liga di antara Sevilla dan Deportivo La Coruna pada Januari 2009. Kad kuning, disusuli denda 3,000 euro dan penggantungan bukanlah sesuatu yang besar dibanding nilai manifestasi satu kecintaan. Baju itu kemudian dijual menerusi ebay dengan harga 205 pound dan diderma kepada sebuah pertubuhan amal di Gaza.


Tindakan itu hadir daripada seorang individu yang menginfakkan gaji tahunannya berjumlah AS$700,000 bagi memastikan masjid terakhir di Seville tidak dijual pada 2007 serta tidak menjadikan Ramadan alasan longlai, bahkan muncul penjaring terbanyak dengan 20 gol pada satu ketika.


Juga bukan mengejutkan daripada seorang individu yang enggan memakai jersi tertera nama penaja Seville, sebuah syarikat judi atas talian, hingga kelab itu bersetuju menyumbang kepada pusat kebajikan Islam, sedangkan ramai anak muda Islam di Malaysia yang tidak segan silu menyarung jersi yang menayang nama pengeluar arak dan syarikat judi lain.


Kanoute yang turut mendirikan yayasan anak-anak yatim di tanah air moyangnya di Mali, harus mengingatkan kita mengenai iman yang wujud dalam pelbagai bentuk. Manifestasi utama iman adalah amal.


Di saat pemain bola sepak negara disyaki terbabit dalam gejala rasuah, amalan paling minimum yang dituntut ialah keikhlasan dan kejujuran tanpa perlu berkorban wang ringgit untuk membeli masjid. Yang diminta peminat ialah pemain kita berjihad menolak godaan, melawan gejolak nafsu dan tidak rakus mengejar duniawi.


Salam hormat,
Rizal.

No comments: